Tuesday, March 29, 2011

Cerpen: Luka Seorang Wanita

LUKA SEORANG WANITA

Aku merenung ke luar jendela sambil ditemani bayu segar dan kicauan burung-burung merbah gembira. Dedaun hijau pokok bunga kertas kegemaran bersinar dibasahi embun diterangi cahaya mentari selepas subuh. Matahari baru sahaja terbit tatkala terasa bahang panasnya di raut wajah. Ratu-ratu hati masih terlelap nyenyak di bawak kipas berpusing laju, kepenatan agaknya selepas seminggu mengaut ilmu. Sepatutnya mereka harus menghadiri kelas tambahan di sekolah tetapi aku berat hati untuk mengejutkan mereka. Biarlah sekali-sekala mereka berehat sepuasnya. Aku masih duduk keseorangan di tepi jendela. Suasana pagi yang sunyi mengimbau rasa. Hari ini seperti terasa lain daripada yang biasa. Ada terasa gembira, ada terasa lega dan ada juga terasa duka. Perasaan bercampur-aduk membuatkan hati terasa bingung. Namun, kadang-kadang, hati terasa kosong jiwa pula diulit canggung.

Jam tepat menunjukkan pukul 10 pagi. Namun aku hanya duduk mendiamkan diri di sisi jendela di ruang tamu. Kebiasaannya anak-anakku terjaga awal pada setiap Sabtu untuk menonton kartun Tom And Jerry, dan kemudiannya Upin dan Ipin di saluran Astro Ria. Riuh-rendah teratakku dipenuhi gelak-tawa comel mereka tetapi hari ini, mereka masih nyenyak dibuai mimpi. Aku terbayang apakan mimpi mereka. Bercuti bersama ayah mungkin? Ataupun dibawa oleh ayahnya bersiar-siar di taman bunga? “Hmm,” mengeluh aku kecewa. Malangnya mereka tidak sempat merasa kasih sayang seorang bapa.

“Ya salah aku! Memang salah aku! Engkau sajalah yang betul,” aku menjerit sekuat-kuatnya.

You tak salah sayang. I yang salah. Tapi you fikirkanlah apa yang you buat ini. Demi anak-anak kita. Tolonglah you, I merayu. Please…” ujar Baha. Jelas terpapar wajah menyesal.

“Ah! Daripada awal tidak pula mahu menyesal. Nasi sudah menjadi bubur. Aku sudah tidak tahan dengan sikap kau! Aku mahu tuntut cerai! Nora dan anak dalam perut ini biar aku yang jaga! Kau tak layak untuk menjaga mereka,”

I tak mahu sayang. Tolonglah,” Baha merayu.

Tegang sungguh suasana itu. Perasaan amarah membuak-buak mengawal minda dan jiwa. Beberapa kali aku ditipu Baha sehingga tangis sudah berganti darah. Hati ini terluka sangat terseksa. Walaupun sudah bertahun, masih terasa dekat di mata. Boleh saja aku membayangkan secara terperinci suasana yang berlaku. Dari tingkap inilah aku menyaksikan Baha keluar meninggalkan kami, memandu kereta Proton Wira hitamnya semakin lama semakin jauh, hilang daripada pandangan. Ketika itu, tangis tidak berhenti berlinangan, tubuh terketar-ketar ketakutan yakni keputusanku yang mengejutkan. Nora tidak mengerti. Dia terpinga-pinga dan seakan-akan mahu menangis mungkin takut melihat aku menjerit-jerit gila seperti hantu. Lantas aku memeluk Nora yang berdiri kaku di sisi sofa merah yang masih kekal di tempat sama. “Mama janji, Mama akan jaga Nora dan adik kamu sebaiknya walaupun kamu tiada bapa. Mama janji.”

Segalanya bermula ketika aku menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda di Universiti Putra Malaysia. Hatiku sebenarnya berat tetapi Baha yang ketika itu masih suamiku, beriya-iya menyuruh aku pergi sambung belajar. Katanya mahu aku berjaya sepertinya agar pendapatan keluarga yang lebih dapat dijana supaya anak-anak dapat dibesarkan dengan sempurna. Perbualan itu hanya mengambil masa yang singkat tapi penuh maksud. Aku berfikir sejenak sambil menuangkan kopi ke cawan Baha. Berat hatiku mahu meninggalkan Baha keseorangan di rumah.

I tak mahu you keseorangan,”

“Tak apa. Pandailah I jaga diri. Lagipun kerja baru I ini, nampak gayanya sibuk berpanjangan. Banyak kali outstation sana-sini nak pergi.”

“Kalau begitu, I balik rumah setiap minggulah,” cadang aku kepada Baha.

“Amboi. Banyak duit you. Kan I dah cakap, kerja I ni sibuk. Hujung minggu pun mungkin tiada di rumah. Sia-sia saja you balik ke JB naik bas 4 jam dari Kuala Lumpur itu. Sayang, kesibukan I ini demi masa depan keluarga kita juga,” jawab Baha lalu menghirup kopi panas sambil melihat jam tangan.

“Okaylah. I nak pergi kerja. Marah pula boss baru I nanti. You fikir-fikirkanlah kata-kata I. Harap-harap you setuju,” kata Baha lalu berjalan lekas menuju ke pintu.

“Err..I rasa betul juga cakap you. Baiklah, kalau betul itu yang you mahu, I setuju. Demi keluarga kita kan sayang,” aku berkata kepada Baha sambil memberikan beg bimbit kepadanya. Baha hanya tersenyum. Tidak kusangka Baha sanggup berkorban kasih sayang seorang isteri demi melihat aku berjaya. Beberapa bulan kemudian, aku berjaya bergelar seorang mahasiswi.

Memang susah untuk merasai kebahagiaan apabila berjauhan. Baha pada mulanya rajin menghubungi tetapi semakin lama semakin kurang dari masa ke masa. “Enam bulan lepas baru saja aku pulang ke dakapannya, sekarang dah tak contact dah, sibuk sangat agaknya,” aku berfikir. Namun, pada suatu hari, mungkin Allah mahu menunjukkan aku kebenaran,menjawab misteri kehilangan si suami yang hilang entah ke mana. Telefon tidak dijawab begitu juga e-mail. Sudah takdirnya aku ditimpa sakit demam yang teruk. Aku terasa ingin pulang ke rumah di Johor Bahru. Pusat Kesihatan Univesiti tidak pula kusinggah. Memang resah gelisah hati dibuatnya. Perasaan rindu yang melampau menyemarakkan hati untuk pulang ke dakapan suami.

Apabila tiba di perhentian bas di Larkin, selepas empat jam duduk di dalam bas yang sejuk, aku turun dengan tergesa-gesa, tidak sabar untuk tiba di rumah, mengucup tangan Baha yang kudamba. Aku terus menumpang teksi yang setia menanti pelanggan.

“Jalan Padi Ria, Bandar Baru Uda bang?” aku bertanya kepada si pemandu.

“Boleh, boleh. Naiklah. Hari pun dah lewat malam ni,” jawab si pemandu teksi.

Selang beberapa minit kemudian, akhirnya aku tiba di rumahku di Bandar Baru Uda. Gelap-gelita seperti rumah terbengkalai. Lalang pula setinggi pinggang. “Sibuk sungguh suamiku mencari nafkah,” aku berkata di dalam hati sambil tersenyum sendiri. Aku pun menghulurkan RM8.00 kepada pemandu dan dia lantas keluar membantu aku mengangkat bagasi ke dalam pagar rumah. Aku meraba-raba ke dalam poket mencari kunci rumah dan terus memasuki rumahku. Tak banyak berubah. Semua masih di tempat asal. Malangnya, Baha tiada. Entah ke mana dia menghilang. Aku memang tidak memberitahu dia tentang kepulangan aku, kononnya kejutan. “Mana Baha pergi?”

Aku menunggu Baha penuh setia. Aku tidak senang duduk walaupun sofa merah di ruang tamu itu sangat empuk. Aku bangkit dan berjalan menuju ke dapur rumah lalu ternampak beberapa keeping surat di atas meja dapur diselitkan sebahagian di bawah alas meja berwarna hijau tua. Aku melihat satu persatu. Aku buka salah satu yang dikirim daripada Maxis.

“Aik?” aku tertanya-tanya. Panggilanku tidak dijawab, Baha pun tidak menghubungi aku sudah sekian lama tetapi mengapa bil telefon sampai RM140.00. Aku pun melihat butir-butir di bil itu satu persatu, disenaraikan segala nombor yang dihubungi Baha.

“Eh? Banyaknya nombor telefon ini dia hubungi? Siapa pula ni?” sekali lagi aku tertanya-tanya. Badan yang kurang selesa lantaran demam panas kini berubah menjadi sejuk. Aku terasa takut entah mengapa. Nombor itu sangat popular di dalam senarai panggilan Baha sehingga mencecah RM60.00 untuk satu panggilan, entah berapa jam mereka berbual agaknya. Hatiku luluh. Mulalah fikiran aku melayang, terfikir si Baha menduakanku. Aku pegang bil itu dan membawa ke ruang tamu. Aku melihat nombor itu berulang-kali dan ada kalanya aku cuba membuang segala fitnah yang singgah di benak minda namun gagal. Resah aku dibuatnya. Baha masih tidak pulang.

“Tak boleh jadi. Siapa pemilik nombor ni?” aku bertanya pada diri sendiri.

“Nak call, dah lewat malam. Tak elok pula,” tambahku lagi.

Namun, hatiku nyata tidak tenteram. Perasaanku bercampur-aduk. Ketika itu, aku dapat rasa seperti Baha bermain kayu tiga.

“Tak logik la dia call ibu dia di kampung. Hubungan mereka renggang setahu aku. Dia cuma ada aku saja. Ni mesti ada perempuan lain.” Tanggapan negatif itulah yang bermain-main di fikiranku, berpusing-pusing di setiap sudut di dalam otakku. Aku nekad memberanikan diri menghubungi nombor itu walaupun gentar sebenarnya.

“Assalamualaikum,”

“Hello. Siapa ni?” jawab si pemilik nombor berkenaan. Pemiliknya seorang wanita. Lembut suaranya.

“Saya Norli, isteri Baha. Awak siapa ya?”

“Err..Ya? Nak apa?” suaranya seperti terkejut dan takut.

“Saya mahu bertanya. Awak selalu dihubungi Baha ke? Saya lihat nombor awak banyak sekali dihubungi berdasarkan senarai nombor yang dihubungi dia. Boleh saya tahu awak siapa?” aku bertanya lagi dengan nada yang tenang supaya si wanita itu tidak panik.

“Saya tiada apa-apa dengan Baha. Saya tiada apa-apa. Kawan saja,” jawabnya dengan nada tergesa-gesa dan panik.

“Tenanglah. Saya hanya bertanya. Awak siapa ya?”

“Saya Nora, rakan kerja di tempat Baha. Abang Baha memang selalu menghubungi saya, puan,”

“Oh Nora. Awak ada apa-apa hubungan dengan Baha ke?”

“Tiada apa-apa. Percayalah cakap saya. Saya tidak ada hubungan apa-apa dengan dia,” Nora menjawab lalu meletakkan telefon. Nora seperti ketakutan, panik barangkali. Aku terdiam seketika sambil memfokuskan mata pada sekeping gambar semasa perkahwinan kami tiga tahun lepas yang tergantung di dinding. Baha tersenyum bahagia di dalam gambar. Namun, aku dapat rasa senyuman itu hanyalah suatu penipuan. Telefon bimbit Nokia di tanganku terjatuh ke atas lantai secara tiba-tiba. Tanpa disedari, air mataku berlinangan. Kucuba tahan tetapi gagal. Berjam-jam aku menangis di atas sofa.

Tiba-tiba, aku terdengar pintu pagar hadapan ditolak. Baha sudah pulang barangkali. Aku segera mengelap air mata di pipi dan cuba berlagak biasa, seperti tiada apa yang terjadi. Aku menanti di hadapan pintu rumah. Sejurus selepas Baha menolak pintu, Baha terkejut melihat sekujur tubuh iaitu isterinya di dalam rumah.

“Sayang, you tak beritahu I pun you nak balik,”

“Macam mana I nak beritahu. I call you tak angkat, you pun tak ada call I,” aku menjawab dengan nada yang sedikit keras. Baha terdiam, terpaku berdiri di pintu. Pintu rumah masih terbuka. Raut wajahnya berubah serta-merta. Aku mengundurkan diri lalu Baha berjalan ke sofa sebelum menutup pintu.

“Siapa Nora?” aku bertanya pada Baha selepas Baha melabuhkan punggungnya di sofa.

“Nora? Mana I kenal,” Baha menjawab sambil mengalihkan matanya ke tempat lain, lari dari renungan mataku.

You jangan ingat I bodoh okay! I tengok list nombor telefon you, banyak betul nombor si Nora. Siapa Nora ni? Baik you jawab,” nadaku bertukar marah. Baha bisu seribu kata. Jelas kelihatan wajah bersalah selepas tembelangnya pecah.

You main-mainkan I. Sampai hati you! I di sana belajar demi keluarga, you pula di sini berfoya-foya. How could you?,” air mataku berlinangan semula. Baha terus bangkit lalu mencapai tanganku. Ikutkan hati memang kutidak mahu lagi disentuh dia tetapi itulah kekuatan cinta.

“Sayang..I’m sorry. I janji tak buat lagi,” rayu Baha sambil memandang aku penuh insaf.

“Dalam perut I ni ada anak kita, sudah lima bulan. I muntah-muntah, sakit-sakit, you mana ambil tahu. I nak call beritahu, you pula tidak menjawab,” kataku dengan tenang. Baha terkejut.

I betul-betul minta maaf. I janji tak buat lagi. I dan Nora cuma teman biasa,” tambahnya. Aku bisu seketika. Tiada apa untuk berkata, aku pun terus berjalan ke bilik tidur, kepenatan akibat perjalanan yang jauh dari Kuala Lumpur. Lagipun mengandungkan anak ini memang letih sebenarnya. Baha hanya terdiam berdiri cekang di sana. Selepas menyalin baju yang lebih selesa, aku pun merebahkan tubuh di atas katil tanpa Baha berada di sisi. Hatiku menangis tiada siapa mengerti. Biarlah tuhan saja yang tahu apa yang ada di dalam hati. Jiwaku meronta, tangisku tak berhenti, luluhnya hati seorang isteri.

Pagi itu agak awal kubangkit daripada lelap, setengah jam lagi sebelum azan subuh berkumandang memecah suasana dinihari. Baha berkain pelikat bercorak kotak-kotak terbaring di sisiku tetapi tidak serapat biasa. Aku lantas bangun dan duduk di sisi katil, terkenangkan kembali peristiwa yang baru saja berlaku sebelum tidur. Demam panas pun tidak terasa akibat gurisan hati yang lebih parah. Tanpa kusedari, air mata jernih mengalir sekali lagi. Pelbagai persoalan berlegar di kepalaku. Mengapa si Baha sanggup memperlakukan begini. Apakah salahku? Apakah yang kekuranganku? Aku telah mencuba yang terbaik untuk menjadi seorang isteri. Mungkin hubungan jarak jauh mengakibatkan Baha kekurangan kasih sayang seorang isteri? Namun begitu, Baha telah menipu aku, memang susah untuk mempercayainya selepas itu.

Azan subuh berkumandang juga akhirnya. Aku bangun ke bilik air, mencuci muka dan berwuduk. Aku menunaikan solat subuh dua rakaat. Tidak kusyuk aku dibuatnya kerana perasaan kecewa yang membuak-buak, lekat di dada. Selesai solat, aku pun kekal duduk dalam keadaan taahiyat akhir dan menadah tanganku, berdoa kepada Allah.

“Ya Allah ya tuhanku. Berikan aku ketenangan. Berikan aku kebahagiaan. Berikan suamiku, Baha petunjuk untuk dia menjadi seorang suami yang baik selain hambaMu yang soleh,” aku berdoa. Tanpa kusedari, air mata jatuh berlinangan dari mata terus gugur ke atas tikar sejadah berhiaskan Kaabah. Lama juga aku terbisu di atas sejadah sambil menangis teresak-esak diselubungi telekung seputih salju. Beberapa minit kemudian, aku bangkit dan mengemaskan sejadah, kulipat elok-elok dan kusidai telekungku sekemasnya. Aku terus keluar dari bilik tidur untuk ke dapur untuk menyediakan sarapan. Baha pula masih nyenyak tidur seperti bayi, kutatap wajahnya lama-lama sebelum melepasi pintu. Tidak semena-mena, aku pula yang rasa bersalah, meninggalkan Baha keseorangan sekian lama, melepaskan tanggungjawab wajib seorang isteri.

Tiba-tiba, sedang aku menghirup kopi sambil menonton Al-Kuliyyah yang baru saja bermula di saluran TV3, Baha datang menghampiriku. Jam di dinding tepat menunjukkan pukul tujuh pagi. Baha mesti terlepas solat subuhnya.

You, I nak minta maaf atas semua kesalahan I,” suara Baha yang lembut terdengar di halwa telinga.

“Hmm..You dah sembahyang subuh belum?”

“Belum. Tapi sayang, I betul-betul nak minta maaf, dengan nama Allah, sayang,” Baha merayu.

“Sekarang you pergi sembahyang dahulu. Dah lewat ni,” jawabku.

“Tapi sayang maafkan I tak?” Baha bertanya semula. Dia melutut di hadapanku. Aku terdiam. Aku tidak mahu lagi mengeruhkan keadaan. Biarlah tuhan menentukan apakah nasibku seterusnya.

“Baiklah. I maafkan tapi you kena janji tidak melakukannya lagi. I dah mengandung anak sulung kita ni,”

“Baiklah sayang. Terima kasih. I janji ya,” jawab Baha lalu terus masuk ke bilik tidur untuk menunaikan solat subuh sebelum tibanya waktu imsak. Aku fikir aku terlalu mudah memaafkan Baha. Aku bukanlah seorang pendendam dan aku lagi suka digelar pemaaf. Sedangkan nabi boleh memaafkan umatnya, apa lagi aku yang hanya manusia normal. Biar sahaja Allah menyusun takdir aku dan dia. Aku redha.

Pagi itu tidaklah begitu indah seperti awal-awal kami berkahwin. Kebiasaannya kami akan menunaikan solat subuh berjemaah dan bersarapan bersama. Mungkin kehidupan selepas ini tidak sama. Namun, marah seorang wanita tidaklah lama, air panas mendidih pun akan sejuk jika dibiarkan begitu saja. Aku berharap kehidupan kami sebagai suami isteri akan pulih seperti sediakala dan kebahagiaan akan dikecapi selamanya. Semua ini di tanganNya. Aku hanya berserah dan berdoa, semoga aku lebih cekal. Itu hanya ujian yang diturunkan Allah.

Aman terasa jiwa selesa, selepas insiden yang menggoncang bahtera perkahwinan yang terbina antara aku dan dia. Anak sulungku juga sihat sejahtera. Noralynn Binti Baharuddin nama diberi. Ketika itu, Nora sudah berumur tiga tahun. Dia sudah pandai berkata-kata tapi tidaklah petah. Kebahagiaan keluarga semakin terasa apabila khabar gembira menghiasi hari, apabila aku bakal menimang cahaya mata lagi. Di mata, Baha memang nampak kesetiaan dia sebagai suami dan bapa, malah tanggungjawab yang sempurna dilaksanakannya. Namun, aku tetap berhati-hati, mengawasi Baha setiap masaa. Aku tidak mahu terluka lagi seperti dulu tetapi semakin hari semakin dapat aku lupakan kejadian silam yang membaham diri. Tidak kulupa berdoa kepada Allah agar aku dapat melupakan kisah silam dan Baha insaf atas perbuatannya.

Tapi entah mengapa hati sangsi tiba-tiba. Awan hitam kembali menghalang mentari, gelitanya hari aku terasa. Aku cuba berfikir positif tapi gagal. Aku cuba buang fikiran merepek itu kerana aku pasti Baha tidak akan mengulanginya lagi. Puas aku ingatkan dia dan setiap kali aku mengungkit pasal kisah silam dahulu, dia mengangguk diam membisu.

Naluri seorang isteri memang sentiasa tepat. Pada suatu hari, Baha memberitahu bahawa dia akan pulang lewat ke rumah. Aku mengambil kesempatan untuk melayari Internet menggunakan komputer riba Acer milikku. Aku rasa ada sesuatu yang disorok oleh Baha. Aku pun melayari Facebook.com dan mencari sebuah akaun peribadi bernama ‘Baharuddin Ali’. Jumpa! Aku buka lalu kuteliti satu persatu. Aku terus membuka album foto dia dan sekali lagi, hatiku rebah persis bangunan roboh ke bumi. Alangkah hiba hatiku melihat gambar-gambar mesra Baha bersama perempuan lain. Aku kuatkan diri membuka album itu. Ayat-ayat cinta menghiasi setiap gambar. “Sampai hati you buat I begini lagi,” aku mengadu kepada diri.

Aku tidak tahan lagi. Mungkin dulu perasaan sedih dan takut menyelubungi diri tetapi kini tidak. Aku lebih yakin dan perasaan marah yang amat menguasai diri. Baha baru saja pulang, terdengar suaranya yang cukup kukenal memberi salam. Aku berlari ke pintu terus kumaki. Tidak sempat Baha membuka kasut masuk ke rumah.

“Jantan tak guna! Kau tipu aku lagi!”

“Eh apa sayang tiba-tiba ni?”

“Siapa perempuan yang you peluk dalam gambar itu? Baik beritahu sebelum I pergi tanya dia sendiri. I tahu dia rakan tempat kerja you,” tambahku.

“Eh I tak ada apa-apa dengan dialah! Sudah-sudah mari masuk. Malu jiran keliling tengok. Dah lewat malam ni,”

“Apa I peduli! You buat semua ni you tak fikir pula malu! Beritahu I siapa dia!”

“Ishh I tak ada apa-apalah,” Baha menjawab sambil membuka ikatan kasut Crocodile dan masuk ke dalam rumah, menolakku ke dinding. Aku sudah tidak tahan sabar. Aku memaksa dia memberitahu sambil tangisku mengalir seperti sungai. Baha hanya terdiam sambil menyinsingkan lengan.

You call perempuan itu sekarang. I nak cakap dengan dia if you tak mahu jelaskan kepada I,” pintaku kepada Baha.

“Tak perlulah sayang. Dia cuma rakan pejabatlah. Kami tidak ada apa-apa hubungan,”

“Habis tu gambar sampai macam itu tak ada hubungan apa lagi. Orang bodoh saja yang percaya!” aku menjerit sambil merampas telefon bimbit milik Baha dari tangannya. Baha bisu seribu bahasa. Dia seakan-akan pasrah dengan apa yang berlaku. Baha pun menarik nafas dalam-dalam.

“Okay fine. Dia Fida, kawan I. Kami dah lama akrab. Kalau malam-malam yang I cakap I pergi meeting, sebenarnya I keluar dengan Fida,” Baha berkata dengan tenang tanpa rasa bersalah. Dia mengambil semula telefon bimbit dariku. Aku pula terdiam kejang, terkejut dengan apa yang baru saja kudengar. Baha mendail nombor menggunakan telefon bimbitnya.

“Hello. Sayang, ada orang nak cakap dengan sayang ni…” kata Baha kepada seseorang yang kupasti dialah Fida, perampas kebahagiaan rumah tangga aku dan Baha. Hatiku hancur berkecai persis kaca jatuh berderai, mendengar perkataan sayang yang ditujukan buat orang lain bukannya aku. Baha menghulurkan telefonnya kepadaku tapi kutolak sekeras-kerasnya. Telefon itu jatuh terhempas di atas lantai.

“Okay cukup! I had enough! Kau lelaki tak guna. Kau ceraikan aku lebih baik!” aku berkata kepada Baha dengan nada yang serius. Raut wajahnya tampak berubah, pucat lesi dibuatnya.

“Sayang, tak perlulah. I sayang you jugak macam mana pun,”

“Aku tak tahan lagi. Kau dusta! Kau jantan tak guna!” aku berkata sambil menangis teresak-esak. Suasana pilu tak berlagu.

You carilah perempuan lain yang lebih baik kerana I tak cukup bagus untuk you. Semua ini salah I,” aku berkata sambil menangis. Baha diam sahaja sambil menggaru-garu kepala.

You janganlah macam ni. You tak salah! I tak mahu ceraikan you! Semua ini dari mula memang salah I,” tambah Baha dengan nada yang semakin meninggi. Dia mahu meyakinkan aku bahawa keputusan aku adalah salah. Pada waktu itu, aku pasrah. Lebih baik aku berpisah daripada terus ditipu seorang lelaki bergelar suami.

Aku perlu kuat untuk menjaga anak dan bayi yang bakal dilahirkan dan syukur ke hadrat Ilahi, aku berjaya hidup sebagai ibu tunggal, membesarkan anak-anakku, Nora dan Liyana, yang selamat dilahirkan. Dengan ijazah sarjana muda yang kuterima dahulu, aku bekerja sebagai seorang pegawai bank di pejabat Maybank cawangan Bandar Baru Uda, cukuplah gajiku untuk menampung kami tiga beranak.

Selepas proses penceraian selesai, Baha hilang entah ke mana. Entah dengan siapa pula dia bersama, dengar khabar angin berkata dia berpindah ke Kuala Lumpur. Itu semua tidak kupeduli kerana hanya dua saja manusia yang istimewa di sisi, Nora dan Liyana. Malangnya mereka dibesarkan tanpa bapa tapi aku akan cuba sedaya-upaya menjaga, mendidik malah membesarkan mereka sehabis baik. Itu janji yang akan kulaksana.

Jam tepat menunjukkan pukul 10.05 pagi. Aku masih termenung di sisi jendela, teringatkan peristiwa hitam yang pernah menimpa. Syukur semuanya sudah pulih dan aku hidup bahagia, tanpa kusedari, pipiku dibasahi air mata hiba. Aku kesat menggunakan jari yang gagah perkasa membesarkan anak-anak yang tiada bapa. Kututup mata rapat-rapat dan sekali lagi aku berjanji akan menjaga anak-anakku dengan baik walaupun mereka tiada bapa. Air mata pun berhenti mengalir dan senyuman terukir di wajah.

Aku pun bangkit dan pergi ke arah Nora dan Liyana dengan semangat yang kuat, mental yang kukuh dan hati yang bahagia.

“Sayang, bangun sayang. Tom And Jerry dah mula,” kukejut Nora dan Liyana. Mereka membuka mata perlahan-lahan dan tersenyum. Alangkah damai senyuman di wajah mereka. Sejuk hatiku.

Luka seorang wanita pulih sepenuhnya tanpa parut yang mencacatkan rupa. Luka seorang wanita yang diubati dengan hati yang kuat dan jiwa yang cekal. Sesungguhnya aku bukanlah manusia yang alpa. Luka ini membunuh, luka yang perit ini, akhirnya, berjaya juga kusangkal!

Ahmad Rusidy Rosly

29 Mac 2011

6 comments:

  1. panjang sgt laa mosh.nti org malas nk bace.better ko kecikkn sikit font tuu

    ReplyDelete
  2. mosh ber-cerpen laaa...
    best2!
    besar kan font dan buat cerite ni bersiri..
    maksud aku, buat satu entri untk sparuh...
    next entri, buat smbungan..hah gitu..
    baru besss...
    hehe..XD

    ReplyDelete
  3. ni assignment dow..huhu..tp xpe..nnt aku akan buat mcm tu..hehe

    ReplyDelete
  4. bestnye cite ni..
    nanges sudah bha...
    mosh.. minta izin share bleh??

    ReplyDelete
  5. ahaha! terima kasih..kerja last minute nih..hehehe...boleh saja ;)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...